Tujuh sekolah kebangsaan mahu pilihan teruskan PPSMI
22/10/2009 12:25pm
KUALA LUMPUR 22 Okt. — Parent Action Group for Education (Page) mahu semua sekolah kebangsaan diberi pilihan untuk meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, pungutan suara di tujuh buah sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur mendapati purata sebanyak 97 peratus daripada ibu bapa berhasrat supaya sekolah anak-anak mereka diberi pengecualian daripada pemansuhan PPSMI.
Tujuh buah sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan Assunta 2, Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Sekolah Kebangsaan Seri Hartamas, Sekolah Kebangsaan Taman Megah, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Hartamas, Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sri Aman dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman SEA.
"Kita bukan hendak membantah pemansuhan PPSMI dan kami juga tidak membantah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kami cuma mahukan sekolah diberi pilihan kerana mereka mendapat faedah daripada pengajaran Bahasa Inggeris.
"Bagaimanapun, bahasa kebangsaan masih menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, satu memorandum mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan untuk dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama
Wednesday, October 21, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment